Tips Pengurusan Kewangan Sebelum Berkahwin - Elakkan berhutang

Ramai suka berhutang untuk melangsungkan majlis perkahwinan tanpa mengkaji kestabilan kewangan selepas berkahwin. Walhal selepas perkahwinan masih banyak perkara yang perlu dilakukan. Dibimbangkan lama kelamaan akan terasa dibebani hutang pinjaman sedangkan majlis kahwin sudah lama berlalu.

Jom baca tips bawah ni untuk elakkan berhutang :

1. Simpan Awal
Sebelum mengadakan majlis mesti ada sasaran dan perancangan awal. Sebaiknya sejak mula bekerja lagi seseorang telah pun membuat simpanan untuk urusan perkahwinan. Ini kerana setiap orang pasti ada keinginan untuk berkahwin dan tidak semestinya menunggu ada tarikh baru hendak menyimpan. Seeloknya ketepikan lima hingga 10 peratus wang gaji untuk majlis anda nanti. Itu adalah perancangan bijak.

2. Elak Pinjaman Peribadi
Jangan sesekali membuat pinjaman untuk mengadakan majlis seperti pinjaman peribadi dan sebagainya. Mungkin pada permulaannya korang melihat pinjaman peribadi ini adalah jalan penyelesaian kepada masalah korang. Tetapi bahananya ialah kemudian hari iaitu apabila majlis sudah selesai iaitu saat untuk membuat bayaran balik.

3. Bajet Ikut Kemampuan
Buat bajet terperinci mengikut pendapatan. Kadang kala di kalangan saudara mara yang mahir menggubah hantaran maka boleh minta bantuan diorang dan boleh meringankan kos yang perlu diperlukan. Acara majlis juga hendaklah dilakukan mengikut bajet yang ada dan kemampuan korang. Tak perlu mengadakan majlis besar-besaran hingga memeningkan kepala dan membuatkan korang berhutang.

4. Kongsi Majlis
Mungkin ada yang bercakap kenapa mahu berkongsi majlis dan sebagainya. Ia sangat menjimatkan tambahan pula jika kedua-dua belah pihak tidak kisah atau tinggal dalam kawasan yang sama. Hal ini membuatkan banyak kos yang dapat dikurangkan terutamanya daripada jumlah tetamu dan belanja jamuan.

5. Elakkan Cuti Sekolah
Pada waktu-waktu begini, semua harga akan dinaikkan. Contohnya, sewa dewan, khemah, katering dan banyak lagi. Alasannya, pada musim ini banyak permintaan. Jadi langsungkan majlis pada bukan waktu puncak di mana harga dan kos dapat dikurangkan.

6. Elak Gunakan Kad Kredit
Memang seronok membeli belah barangan hantaran dengan menggunakan kad kredit. Tindakan ini berbahaya kerana tanpa disedari hutang sudah semakin bertambah kerana tidak terasa wang tunai korang mengalir keluar. Hujung bulan terima bil, ketika inilah korang berasa tertekan. Indahnya bergelar pengantin baru masih belum puas dirasai, bebanan hutang pulak yang datang.

7. Bersederhana
Ini jalan yang paling bijak. Sederhana dan melangsungkan majlis mengikut kemampuan dan tidak membazir. Apa yang penting poket anda tidak kosong selepas melangsung majlis perkahwinan bersama pasangan yang anda cintai.

Moga bermanfaat buat semua. 

Sumber : Mingguan Wanita

No comments:

Post a Comment